Setelah beberapa entry sebelum ini agak serius, kali ini saya ingin berkongsi kisah yang saya kira ramai yang sudah tahu iaitu mengenai sebuah menara jam tertinggi di dunia yang baru sahaja siap dibina di Mekah. Nama lengkap bagi menara jam ini adalah Menara Jam Diraja Mekah atau nama popularnya Menara Abraj Al-Bait. Menara jam ini dibina oleh syarikat pembinaan tersohor Arab Saudi iaitu, Saudi Binladin Group membabitkan 250 tenaga kerja mahir umat Islam. Ianya terletak bertentangan dengan Masjidil al Haram di atas tapak Kubu Pertahanan Ajyad di zaman Khalifah Uthmaniyah yang telah diruntuhkan.
Menara jam berketinggian 601 m
Antara yang menarik mengenai kompleks yang menempatkan menara jam ini adalah ruang legarnya adalah sangat besar, berukuran 1,500,000 m2 (16,150,000 kaki persegi). Ketinggiannya akan melebihi Emirates Park Towers di Dubai yang kini merupakan sebuah hotel tertinggi di dunia dan ianya bakal menempatkan hotel bertaraf 7 bintang. Ini menjadikan menara jam ini sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian keseluruhan adalah 601 m, mengatasi menara Taipei 101 (509 meter) dan berada di belakang Burj Khalifa (828 meter).